KUANTAN: Bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson, menjalani ujian saringan air kencing Rabu lalu susulan laporan polis mendakwa dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, hasil ujian itu mengesahkan Zahnita, 39, bebas daripada dadah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata wanita berusia 39 tahun itu sebelum itu pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk mendapatkan kebenaran polis bagi mengiringinya mengambil anak-anaknya dari rumah suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, di sini.
“Saya ingin menjelaskan ujian air kencing dibuat terhadap Zahnita bukan disebabkan dia meminta bantuan polis untuk mengiringinya mengambil anak bagi melaksanakan perintah perlindungan interim (IPO) hak penjagaan anak itu.
“Sebaliknya, pada hari sama dia datang ke IPD Kuantan, ada laporan dibuat terhadapnya mengatakan dia terbabit dengan dadah, menyebabkan polis perlu untuk membuat ujian air kencing bagi mengesahkan pengaduan itu.
“Bagaimanapun, saringan ujian air kencing dibuat di balai polis itu disahkan negatif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya kemudian memberikan bantuan pengiring keselamatan yang diminta bekas pelakon itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika dia mengambil anak-anaknya dari rumah suaminya.
Semalam, Zahnita yang nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson mendakwa dia dikehendaki menjalani ujian air kencing sebelum dibenar menggunakan pengiring polis untuk mengambil dua anaknya dari rumah suaminya pada Rabu lalu.
Minggu lalu, mahkamah memberikan penjagaan sementara anak-anaknya kepada Zahnita sebelum keputusan penjagaan akhir dijadualkan pada 3 Januari tahun depan.
Mahkamah juga meluluskan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi melindungi Zahnita.
Pada 5 Disember, suami Zahnita didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua pertuduhan, termasuk menyebabkan kecederaan terhadapnya dan mengedar dadah.
Zahnita menjadi perhatian media selepas mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dia memuat naik foto di media sosial yang menunjukkan matanya lebam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.