comscore
Tumpuan :
Nasional

Zahid, UMNO tidak pernah beri kata dua isu pengampunan Najib – PM

Oleh: Juliana Sharin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya kerajaan pimpinannya longgar atau tidak tegas terhadap permasalahan rasuah.

Tegas beliau, pendirian Kerajaan Perpaduan dalam menentang salah guna kuasa dan amalan rasuah tidak berganjak, jauh sekali berundur.

Jelas Datuk Seri Anwar, dalam soal keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi ugutan atau kata dua kepadanya.

“Proses badan kehakiman diteruskan dan tiada ugutan Datuk Seri Zahid, Presiden UMNO ada disini. Dia tidak pernah bagi kata dua pada saya, tetapi ada hak dia ataupun partinya memohon supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan memberi pertimbangan dengan alasan-alasan mereka. Saya tidak mahu nafikan sama ada saya suka atau tidak suka, rakan politik atau musuh politik, prinsip keadilan dan prosesnya harus kita hormati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.

Perdana menteri juga menegaskan, tidak timbul isu permohonan bekas presiden Umno itu didengar lebih awal seperti didakwa pelbagai pihak, selain menidakkan bahawa pengampunan hanya boleh dibuat selepas tiga tahun penjara.

Katanya sebagai perdana menteri adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan setiap permohonan rayuan didengar lembaga berkenaan.

“Dalam kes ini bila rayuan diumumkan, perdana menteri pastikan rayuan didengar. Saya akui tanggungjawab itu. Sebaik saya dapat mana-mana rayuan, saya mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan,” katanya.

Datuk Seri Anwar menjelaskan, beliau hadir dalam mesyuarat pertama Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 1 hingga 9 Disember lalu memandangkan ketika itu beliau bertanggungjawab isu berkait Wilayah Persekutuan.

Susulan rombakan Jemaah Menteri, Dr Zaliha Mustafa dilantik mengetuai portfolio Wilayah Persekutuan seterusnya menggantikan beliau dalam mesyuarat lembaga itu.

Sabtu lalu, Umno selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi menyatakan pendiriannya menghormati keputusan Lembaga Pengampunan memendekkan hukuman penjara Datuk Seri Najib daripada 12 kepada enam tahun, dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Datuk Seri Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos 2022 di Penjara Kajang sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

Susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Jumaat lalu, Datuk Seri Najib dijangka dibebaskan pada 2028, atau setahun kemudian jika gagal membayar denda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini