Tumpuan :
Nasional

Zahid sokong penubuhan pasukan petugas jenayah siber ASEAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadiri Majlis Peluncuran dan Perasmian Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa penubuhan pasukan petugas jenayah siber ASEAN ala Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengekang jenayah siber di negara-negara serantau.

Tegasnya, ia bagi memudahkan perkongsian maklumat risikan dan kerjasama dalam menangani ancaman digital dengan lebih berkesan.

“Sepanjang tahun lalu, Malaysia melaporkan kerugian kewangan lebih daripada RM1.22 bilion akibat jenayah siber dan berjaya mengesan berjuta-juta ancaman siber.

“Ini mengukuhkan keperluan untuk mempertingkatkan daya tahan siber dan langkah keselamatan siber secara lebih proaktif.” Katanya dalam ucapan di Majlis Peluncuran dan Perasmian Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).

Beliau turut menggesa semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pemimpin industri untuk mengambil tindakan tegas dalam beberapa perkara antaranya kepolisan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Kita mesti melaksanakan perancangan kepolisan berasaskan AI dan pemantauan bandar secara masa nyata untuk proaktif mengesan dan mencegah ancaman keselamatan.

“Kedua, penubuhan sistem pengesahan identiti berasaskan rantaian blok di peringkat kebangsaan adalah penting untuk melindungi transaksi dalam talian dan mengurangkan penipuan identiti.

Menurutnya, usaha itu perlu turut melibatkan perkongsian awam-swasta bagi memperkukuh keselamatan siber, memperbaiki perkongsian maklumat risikan, dan mempercepatkan respons terhadap ancaman melalui kerjasama antara kerajaan, syarikat korporat dan firma teknologi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini