BUTTERWORTH: Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang baharu.
Pelantikan Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Ya, saya mengesahkan Noraini Ahmad dilantik sebagai Pengerusi RISDA,” katanya ringkas ketika ditanya dakwaan lantikan itu yang tular di media sosial sejak semalam.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di sini, hari ini.
Noraini, 56, sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi.
Selain itu, beliau juga adalah wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memeriksa dan memantau urusan dan pentadbiran kewangan negara.
Semalam tular di media sosial beberapa keping gambar berserta ucapan tahniah yang mendakwa Noraini dilantik sebagai Pengerusi RISDA yang baharu.