Tumpuan :
Nasional

Zahid maafkan semua pihak yang pernah mencaci

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalam bersama pengunjung ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra sempena Kerajaan Perpaduan di Jalan Bukit Kemuning Shah Alam. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaafkan semua pihak yang pernah melontarkan pelbagai tohmahan serta cacian terhadapnya sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah tiba masa semua pihak maju ke hadapan membangunkan negara dan memberi tumpuan kepada rakyat serta tidak lagi menoleh ke belakang.

“Saya diberitahu (Ahli Parlimen Klang), V Ganabatirau kata nak mohon maaf kepada saya sebab sebelum ini beliau tidak kenal saya dan saya tahu beliau dalam ceramah serta di media sosial banyak tulis mengenai saya, UMNO, Barisan Nasional (BN) dan beliau memberitahu persepsi itu dahulu sebab beliau tidak mengenali saya.

“Jadi sekarang tiada lagi persepsi negatif yang menunjukkan kami dalam UMNO, BN tidak seburuk yang dikatakan.

“Sudah cukup-cukuplah kita berbeza pendapat. Secara peribadi saya memaafkan mana-mana individu atau tokoh atau parti atau organisasi yang tersilap. Kita maafkan sepenuhnya tetapi pesanan saya ialah jangan buat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari sempena penubuhan Kerajaan Perpaduan di Jalan Bukit Kemuning di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning.

Loading...
Terkini