Tumpuan :
Nasional

Zahid cadang 5 inisiatif utama majukan KEMAS

Zahid ketika berucap pada Program Pemerkasaan Malaysia MADANI KEMAS 2025 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putrajaya, hari ini.- FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu memperbanyak inisiatif berimpak tinggi, maju dan melangkah ke hadapan.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan 5 perkara yang perlu dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan berterusan.

Katanya, KEMAS perlu melaksanakan Pelan Transformasi Digital bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Ketika ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk pelaksanaan Pelan Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang akan memanfaatkan 11,000 TABIKA dan hampir 200,000 pelajar.

“Ini akan meningkatkan literasi digital sejak usia awal, jadi saya mahu KEMAS memperkenalkan Bootcamp Literasi Digital melalui kerjasama dengan syarikat teknologi untuk melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran seperti coding, pemasaran digital, dan keselamatan siber sekaligus mengurangkan jurang digital dan memupuk nilai keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Masyarakat Madani KEMAS di sini hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mencadangkan KEMAS memperluas Pendidikan dan Latihan Kemahiran (TVET) untuk meningkatkan kemahiran belia, khususnya bagi memenuhi keperluan industri.

Katanya, beliau yakin TVET KEMAS 2.0 mampu memangkin agenda TVET Negara.

Selain itu, beliau turut mencadangkan KEMAS memperkasa Ekonomi dan Keusahawanan warga desa dengan memanfaatkan program seperti Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP).

Tambahnya, bimbingan dan kerjasama bersama syarikat tempatan dapat membantu penduduk setempat memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Tegasnya, tumpuan terhadap Tadbir Urus jentera KEMAS perlu diperkukuh agar lebih cekap dan mampan termasuk penambahbaikan skim penjawatan guru-guru KEMAS.

Ujar Zahid, pelaksanaan Tabika Berkeperluan Khas di seluruh negara juga boleh membantu KEMAS dalam memastikan keberkesanan berterusan.

“Kita dalam proses pelaksanaan Tabika Berkeperluan Khas atau TABIKA Autisme yang akan mula di beroperasi di Melaka. Saya mahu ia diperluas ke seluruh negara,” tegas beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini