Oleh: Aslina Abu Bakar
PETALING JAYA: Ramai ibu bapa khususnya daripada golongan muda mengharapkan ada campur tangan daripada kerajaan dalam menangani kos penghantaran anak ke taska yang semakin tinggi.
Sambil mengalu-alukan insiatif pemberian subsidi sebanyak RM180 untuk menghantar seorang anak ke taska, mereka mahu supaya punca kenaikan kos itu juga ditangani.
Penjawat awam, Dr Nur Arfah Mustafa berkata perlu ada kajian dan kerjasama khusus dari segi penyelarasan terutama berkaitan kos pendaftaran yang sentiasa meningkat sehingga membebankan mereka.
“Pihak berwajib perlu selidik balik berapa kos sebenar yang diperlukan oleh pihak taska.
Sebaiknya perlu, adakan pelarasan membabitkan peratusan keuntungan yang pihak taska perlukan.
Ia penting sekiranya terdapat kepelbagaian kos yang tersembunyi (hingga) menyebabkan harga yuran bertambah. Sekiranya ia boleh dikurangkan atau diselaraskan, saya yakin kos taska itu tidaklah terlalu mahal,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Anna Kartini Ahmad Lotfi berkata dia turut menyambut baik sekiranya ada usaha atau cadangan untuk mewujudkan taska di setiap agensi yang mempunyai bilangan pekerja wanita yang ramai.
“Kalau gajinya rendah, tapi yuran taska tetap tinggi masih tak berbaloi untuk menghantar anak ke taska. Oleh itu, perlu selaraskan yuran taska sama ada ia di bawah jabatan kerajaan ataupun swasta kerana kita tahu yuran agak tinggi, lebih-lebih lagi untuk anak 12 bulan mencapai RM800 hingga RM900 untuk seorang anak.
Malah, kami di jabatan awam sangat berharap agar semua jabatan kerajaan menyediakan taska di setiap premis masing-masing, contoh kalau kami ada satu bangunan besar kalau boleh ada ruang taska untuk semua pekerja di situ, ia lebih memudahkan,” sarannya.
Sementara itu, Pensyarah Pembangunan Ekonomi, Ashad Ayub Graduated Business School, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Tan Peck Leong berkata perlu ada budaya pekerjaan baharu yang membolehkan wanita bekerja disamping menjaga keluarga seperti mana dilaksanakan di negara-negara maju.
Menurut beliau, dari satu lagi segi langkah itu dapat mengurangkan faktor yang menjadi kecenderungan semakin ramai wanita memilih menjadi suri rumah kerana kos penghantaran anak ke taska yang semakin mahal.
“Jumlah subsidi RM180 sebulan untuk menampung kos taska untuk setiap anak tetapi kos makin meningkat. Kalau seseorang ibu ada empat orang anak dia terpaksa bayar RM900 sebulan, selepas diberi subsidi.
Sekiranya gaji mereka hanya RM1,500 memang tidak berbaloi untuk bekerja. Itu masalah yang utama, bukan masalah untuk meningkatkan pendaftaran kos taksa baru atau taska yang tidak didaftarkan,” katanya.
Jelasnya, fokus utama yang perlu diberi tumpuan adalah cara menarik minat lebih ramai wanita bekerja meliputi pembahagian masa dan gaji yang berbaloi.
“Sekiranya, kita boleh mengikut negara membangun iaitu memberi wanita pilihan bekerja dua atau tiga hari seminggu, dengan cara perkongsian pekerjaan yakni dua wanita melakukan satu pekerjaan saya yakin masalah ini dapat dikurangkan,” katanya.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah inisiatif Ekonomi Penjagaan.
Ia bertujuan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska serta pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.
Malah ia juga merupakan antara usaha bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja ekoran jurang jantina dalam pasaran buruh negara.