Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Yayasan Strategik Lestari (YSL) akan menjadi nilai tambah kepada program lestari negara yang memberi fokus kepada kelestarian alam sekitar, pendidikan dan pembangunan nilai kelestarian.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Pengasas YSL berkata, yayasan berkenaan juga disifatkan saling melengkapi dengan yayasan lain yang turut memperjuangkan isu kelestarian alam sekitar.
“Kita lihat keperluan kepada penubuhan YSL untuk pelbagai pihak turut serta menyumbang ke arah kelestarian.
“Kita perlu bina kesedaran masyarakat kerana undang-undang sahaja mungkin tidak cukup dan yayasan ini akan membantu dari segi penyelidikan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan YSL di sini, hari ini.
Beliau berkata, misi YSL adalah untuk perkongsian bagi pengembangan semua peluang dalam teknologi hijau termasuk peluang ekonomi, selain meningkatkan kesedaran awam dan kesihatan awam berhubung krisis iklim.
Yayasan ni juga katanya, akan mewujudkan usahasama pelbagai pihak dan berkongsi program dengan institut pengajian tinggi (IPT) dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu untuk bersama kerajaan dalam mencapai objektif yang disusun Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Hasrat kita juga untuk membawa YSL ke peringkat luas dan bertaraf antarabangsa seperti terlibat dalam seminar, simposium dan sebagainya yang melibatkan isu kelestarian,” katanya.
Bagi fasa 1 untuk tempoh 2022-2023, tiga program direncanakan YSL iaitu khidmat masyarakat, kempen kesedaran dan penyelidikan mengenai kelestarian alam sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Tuan Ibrahim berkata, beliau akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, esok.
RUU tersebut bagi meningkatkan penalti tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan.
“Saya setuju bahawa penguatkuasaan adalah elemen penting, jadi untuk meningkatkan penguatkuasaan, pertama sekali, kita dari segi kementerian kita perlu kemudahan fasiliti, alat teknologi lebih canggih dan pakaian seragam penguat kuasa (yang nampak tegas) yang termasuk dalam pindaan RUU ini.
“Di sesetengah negeri hanya ada satu, dua atau tiga pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan tidak semua daerah ada pejabat. Apabila berlaku pencemaran penguat kuasa kena segera supaya bukti itu tidak hilang.
“Sekarang ini kesedaran awam bagus, mereka rakam (pencemaran) dan hantar maklumat kepada kita. Saya keluar arahan kepada Ketua Pengarah JAS, kalau sebelah pagi terima aduan, saya nak siasatan aduan di meja saya pada petang itu. Alhamdulillah setakat ini kita berjaya,” katanya.
Menurut RUU yang bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda tidak kurang RM100,000.
Selain itu, individu yang melakukan, membenarkan, mengarahkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis boleh, apabila disabitkan, didenda minimum RM25,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
RUU berkenaan dibacakan kali pertama oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.