Oleh: Dzaifiq Khalif Darus
SUBANG JAYA: Makan ais ketika musim sejuk, itulah antara pengalaman pada sesi penggambaran ‘Cheongdam International High School’ yang dikongsi oleh bintang Korea, Lee Eun-Saem.
Pelakon itu berkata demikian pada sidang media sempena jelajah promosi drama tersebut di Malaysia.
Turut hadir, Kim Ye Rim atau lebih dikenali sebagai Yeri daripada kumpulan Red Velvet.
Terdahulu, mereka turut menghadiri sesi bertemu peminat di Sunway Pyramid, semalam.
Menurut Saem, “Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan adalah dengan menggigit ketulan ais dan memuntahkannya semula sebelum melakukan penggambaran.”
“Tambahan pula dengan keadaan cuaca yang sejuk di Korea pada waktu itu, menambahkan lagi kesukaran dan cabaran ketika penggambaran.”
Yeri pula mendedahkan, dia dan Saem memang rapat dan berjaya mencapai keserasian untuk menjayakan penggambaran drama berkenaan.
‘Cheongdam International High School’ mengisahkan seorang pelajar sekolah menengah, Kim Hye-in yang dilakonkan oleh Eun-Saem.
Hye-in menjadi saksi kepada kes pembunuhan seorang gadis di sekolah berkenaan.
Bagi menutup mulutnya, dia dipindahkan ke sekolah baharu, ‘Cheongdam International High School’ dan bertemu Baek Jen-na lakonan Yeri yang juga suspek utama kes berkenaan.
Drama bersiri 10 episod ini boleh ditonton melalui aplikasi Tonton di tonton.com.my.