KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat ibarat tidak sah tanpa gelagat pertikaman lidah membabitkan dua Ahli Parlimen iaitu Mohd Sany Hamzah (Hulu Langat-PH) dan Datuk Awang Hashim (Pendang-PN).
Hari ini, kedua-dua mereka menjadikan sesi Perbahasan Usul Titah Diraja sebagai pentas untuk menyerang satu sama lain, sekali gus mengundang suasana gamat di Dewan Rakyat yang kemudian turut disertai Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).
Kekecohan bermula apabila Awang bangun mencelah sewaktu Syed Ibrahim Syed Noh sesi (PH-Ledang) membahaskan usul titah Diraja mengenai isu sekolah daif, sebelum menyebut nama Mohd Sany yang dianggapnya tertib ketika sesi hari ini.
Awang: Saya nak sambung sikit saja. Ledang sekejap saja, saya nak beri pujian saja. Saya tengok Hulu Langat (Mohd Sany) hari ini sebut tertib macam itulah (baru) rasional.
Mohd Sany: Cemburu ke? Cemburu ke? Sebab itu saya nak minta juga Ledang (Syed Ibrahim), maksudnya Pendang (Awang) pun kena beradab, kalau saya boleh beradab sebelah sana kena beradab dan berakhlak juga.
Situasi bertambah kecoh apabila Mohd Sany membangkitkan isu rasuah kepada pengundi yang berlaku ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Sebab itu dalam PRU apabila kita nak dapatkan undi rakyat kena fakta bukan rasuah beri pengundi kita duit. Sebelah sana nak kena tengok balik sikap, adab dan integriti kita sebagai Ahli Parlimen kita kena jaga juga. Terima kasih Pendang,” katanya.
Pertikaman lidah antara dua anggota Dewan itu berlarutan untuk seketika, sebelum Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng, menegur kedua-dua mereka supaya jangan membuang masa.
Timbalan Speaker kemudian meminta Syed Ibrahim meneruskan sesi yang tergendala, namun Ahli Parlimen Ledang itu memberi laluan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson-PH) sebelum dipintas Ahli Parlimen Pendang.
Awang: Saya belum habis cakap lagi, cuma nak puji Hulu Langat saja. Saya hendak sentuh pasal rasuah.
Mohd Sany: Duduk Arau…Arau.
Melihat kekalutan itu berterusan, Timbalan Speaker meminta semua Ahli Parlimen terbabit duduk dan memberi laluan kepada Aminuddin untuk meneruskan sesi.
Terdahulu, ketika Syed Ibrahim membahaskan usul, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) bangun mencelah dan membangkitkan sama ada Ahli Parlimen Ledang itu menyedari Kementerian Pendidikan menghalang seluruh Ahli Parlimen pembangkang memberi bantuan di sekolah termasuk di daerah Sik.
“Sebelum ini, sekolah Sik dapat bantuan ahli parlimen RM20,000…RM30,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), baik pulih kelas dan sebagainya (tapi) hari ini kami nak masuk pagar sekolah pun tak dibenarkan.
“Jadi apa maksud hendak beri pendidikan yang meluas kepada rakyat dan bagaimana kita hendak bantu dan yang menjadi mangsanya (sudah tentu) anak-anak pelajar kita. YB (Yang Berhomat) Ledang minta beri pandangan,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin yang turut menyetuh isu dibangkitkan Ahmad Tarmizi mengakui isu wakil rakyat atau ahli politik tidak dibenarkan memberi bantuan kepada sekolah ini sudah berlaku sejak dulu lagi.
“Saya sebagai Menteri Besar peruntukan berjuta ringgit untuk pendidikan (tetapi) saya tak datang (masuk) sekolah.
“Jadi, tak jadi masalah kalau tak masuk sekolah (kerana) duit (bantuan) boleh sampai melalui PIBG dari luar sekolah,” katanya.