comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Yang kau hina tu mak aku!’ – Anak wanita Kemboja tampil bela ibu 

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dipercayai anak kepada wanita Kemboja yang mencetuskan kontroversi selepas rakaman video mendakwa Melayu malas tular di media sosial, tampil membela ibunya.

Video yang tular di aplikasi TikTok itu memaparkan lelaki berkenaan sedang marah disebabkan kecaman diterima ibunya.

Menerusi video terbabit, lelaki itu turut mengajak pihak yang menghina ibunya itu bersemuka dengannya di kilang.

“Aku cabar kau, daripada kau ‘menyalak’ macam * di TikTok, aku cabar kau, kau ‘face’ (berdepan) aku di kilang ni.

“Yang kau hina tu mak aku. Kalau setakat ‘menyalak’ macam * ni anak Makcik Kemboja di sini. Aku dah tak takut pada kau. Aku memang tak pernah takut pada kau,” katanya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan ‘kau’ itu ditujukan kepada siapa.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan seorang wanita yang mengaku berasal Kemboja tetapi sudah lama bermastautin di negara ini ketika mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.

Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan menyatakan dia hanya bergurau dan memohon maaf.

Susulan kecaman diterima, wanita itu turut memuat naik rakaman video permohonan maaf, dipercayai ditujukan kepada Tunku Makhota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini