Tumpuan :
Nasional

Yang Dipertua USIA dipilih Tokoh Maal Hijrah Sabah tahun ini

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1445H/2023 Sabah kepada Datuk Sapawi Ahmad (empat kanan) pada Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2023 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS. – Foto : NSTP

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Sipitang yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad dipilih Tokoh Maal Hijrah 1445H Sabah tahun ini.

Sapawi yang pernah menjadi Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu semalam.

“Sepanjang pembabitan saya dalam gerakan dakwah ini, saya tidak nampak apa sumbangan besar saya.

“Mungkin jawatan kuasa membuat penilaian kerana saya aktif dalam kegiatan dakwah (menerusi NGO) bermula pada tahun 1980-an sebagai Yang Dipertua ABIM.

“Kemudian saya berehat apabila menjadi Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Sabah dan kemudian menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

“Ketika menjadi ADUN saya dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari 1995 sehingga 1997. Kemudian saya menjadi Yang Dipertua USIA selepas berehat dari politik,” katanya, di sini, hari ini.

Mengenai cabaran dakwah menerusi kegiatan NGO pada masa kini, beliau berpendapat ia jauh berbeza berbanding dulu.

“Cabaran dakwah memang berbeza. Ketika saya menjadi Yang Dipertua ABIM dulu tiada media sosial. Hari ini cabaran paling besar ialah bagaimana media sosial boleh digunakan sebagai platform untuk menggerakkan dakwah.

“Jadi saya fikir dalam konteks dakwah moden hari ini, NGO perlu memanfaatkan media sosial sebagai medium alternatif.

“Pergerakan dakwah tidak semudah yang dikatakan kerana apabila dunia sudah moden, cabarannya lebih besar terutamanya di media sosial. Jika pengisiannyaa tidak ada tapisan dan pemikiran positif digerakkan, anak muda akan terpengaruh dengan keadaan semasa,” katanya.

Loading...
Terkini