comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Yang di-Pertuan Agong tonggak kekuatan negara, pengikat perpaduan – PM


KUALA LUMPUR: Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum, di samping menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga Malaysia dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan sebagai penaung agama Islam yang merupakan agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.

Beliau berkata institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mahkota negara dan rakyat yang mampu mengikat semangat kesatuan dan perpaduan dan dimuliakan sebagai mercu keihsanan.

“Sesungguhnya pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada hari ini mencatat lembaran sejarah yang Insya-Allah akan mampu mengangkat martabat negara.

“Kerajaan dan seluruh rakyat jelata berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga Seri Paduka Baginda berdua serta kerabat, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayahNya, kekal karar di atas singgahsana pemerintahan, juga beroleh ‘afiyah dan penuh kedaulatan,” katanya semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.

Datuk Seri Anwar yang mewakili seluruh rakyat negara ini turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong.

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Facebook

Beliau berkata Seri Paduka Baginda juga berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa

Datuk Seri Anwar turut menzahirkan ikrar bahawa kerajaan serta rakyat akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda.

Perdana Menteri juga menzahirkan junjungan kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menaungi pemerintahan dengan amanah dan secara bijaksana sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini, yang melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi Malaysia.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini