![](https://media.buletintv3.my/2024/02/sultan-scaled.jpeg)
KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim menegaskan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bukan kenaikan pangkat, sebaliknya tanggungjawab tambahan.
Sultan Ibrahim menegaskan baginda mewakili Raja-Raja lain dan menjadi Yang di-Pertuan Agong adalah satu panggilan tugas.
Ia dinyatakan baginda menerusi video dimuat naik di laman sosial Officialsultanibrahim,
“Hak saya untuk berkhidmat. Saya takut, takut juga. Takut tak boleh membawa tugas ini tapi saya akan cuba yang terbaik.
“Pertama sekali, rakyat perlu dilindungi. Lidi sepatah mudah dipatah, secekak tak mudah dipatah. Ingat tu,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut memberi jaminan baginda akan selalu pulang ke Johor.
“Saya juga akan tinggalkan satu mata dan satu telinga saya di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. Jangan terkejut, saya tiba-tiba menjelma di mana-mana daerah,” titah baginda.
Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara semalam.
Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lalu.
Pada istiadat yang sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lalu bagi tempoh lima tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.