Tumpuan :
Nasional

Yang di-Pertuan Agong murka isu kalimah Allah timbul lagi

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki (stoking) yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Baginda bertitah, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Justeru, Seri Paduka bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini