Oleh Fazli Ahmad
MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Pahang di Masjid Jamek Chenor, di sini hari ini.
Di majlis sama turut berlangsung bacaan Yassin dan tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mangkat pada 17 Ramadan 1440 Hijrah bersamaan 22 Mei 2019.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di masjid berkenaan kira-kira jam jam 6:20 petang disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam Al-Quran dipimpin Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2003, Datuk Ahmad Faizul Ghazali seterusnya bacaan Yassin dan Tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah dipimpin Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.
Pada majlis sama, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan seterusnya berbuka puasa bersama orang ramai.
Baginda turut menunaikan solat Maghrib berjemaah.