Oleh: Siti Khadijah Jaafar & Rusyaidi Hafiz Syahid
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Keberangkatan tiba seri paduka baginda berdua sekitar pukul 9.30 pagi itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). pic.twitter.com/O1l9KjIhrY
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 16, 2024
Hadir sama menyerikan majlis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Jemaah Menteri serta kakitangan awam.
Sambutan ini merupakan salah satu acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.
Sambutan bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.
Pada sambutan ini seramai 6,000 orang terdiri daripada 131 kontinjen melibatkan pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.
Turut mengambil tempat, upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu-individu yang layak.
Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.
Ia diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.
Penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang membawa impak besar kepada pembangunan agama, bangsa dan negara sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.