Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yakin peratusan keluar mengundi di Parlimen itu mencecah 90 peratus.
Pada masa sama, beliau merayu kira-kira 41,426 pengundi hadir melaksanakan tanggungjawab di pusat pengundian lebih awal.
“Saya berkeyakinan Putrajaya akan mencapai sasaran 90 peratus keluar mengundi. Namun saya minta pengundi datang awal sebelah pagi, bimbang sebelah petang hujan lebat,” katanya yang ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9(1) di sini hari ini.
Beliau dan isteri, Datuk Seri Anggraini Sentiyaki yang tiba di sekolah itu pada jam 9.02 pagi, selesai mengundi pada jam 9.12 pagi.
Menurut penyandang kerusi selama empat penggal berturut-turut itu, proses pengundian di pusat undi berkenaan amat menggalakkan dengan ramai pemilih keluar mengundi walaupun cuaca hujan renyai-renyai.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) parlimen terbabit, Datuk Dr Radzi Jidin bersama isteri, Datin Balkis Zakaria yang mengundi di Sekolah Rendah Agama Al-Najah di Presint 9 berkata, proses pengundian dilaksanakan secara teratur dan berjalan baik.
“Melihat kepada cuaca sedikit gerimis, saya jangkakan jumlah keluar mengundi akan tinggi, apa yang paling penting semua ambil kesempatan ini untuk keluar mengundi,” katanya.
Sebanyak 68 saluran di 11 sekolah yang dijadikan pusat mengundi dibuka di sini dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
PRU-15 menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan Datuk Seri Tengku Adnan (BN) ; Datuk Dr Radzi Jidin(PN) ; Datuk Mohd Rosli Ramli (Parti Pejuang Tanah Air – PEJUANG); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan – PH) serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.
Fice Bee mengundi di SK Putrajaya Presint 16 (1) manakala tiga calon lain iaitu Noraishah, Datuk Mohd Rosli dan Samsudin mengundi di luar Putrajaya masing-masing di Parlimen Seputeh, Kuala Lumpur; Parlimen Bangi, Selangor serta Parlimen Machang, Kelantan.