Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Misteri hadiah kereta untuk Bell Ngasri sempena kemenangannya pada Anugerah Bintang Berita Harian ke-35 (ABPBH35) akhirnya terjawab.
Bintang Paling Popular ABPBH35 itu menerima kereta jenis Mini Cooper Clubman S sumbangan DTC Motors dalam majlis penyerahan di ibu negara, hari ini.
“Saya tidak pernah dapat hadiah sebesar ini, tidak pernah bermimpi pun dapat kereta sepanjang 37 tahun dalam industri hiburan,” ujarnya kepada Buletin TV3.
Kereta bernilai kira-kira RM200,000 itu diserahkan kepada Bell oleh Penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DTC Motors, Afendy Wahid.
Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman dan Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Pada 24 Julai lalu, melalui segmen Bekpes Hot dikendalikan penyampai stesen radio Hot FM iaitu KJ, Johan, Fara Fauzana dan AG, Afendy menyatakan kesudian menghadiahkan Bell sebuah kenderaan sebagai sumbangan peribadi atas kejayaan beliau merangkul trofi Bintang Paling Popular.
“KJ yang berani suarakan bahawa saya seorang artis yang tidak dapat kereta.
“Tak sangka ada yang telefon pagi itu sudi bagi saya kereta, saya pun tergamam.
“Terima kasih banyak banyak saya ucapkan buat penaja, Encik Affendy, Chief KJ AG, Fafau, kalau tak sebab segmen pagi Hot FM, mungkin tidak dapat kereta ini,” kata Bell.
Pada malam kemuncak ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni pada 21 Julai lalu, Bell diumum Bintang Paling Popular menewaskan pemenang daripada 11 kategori utama lain.
Terdahulu, pada acara berprestij yang disiarkan secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB) oleh TV3 dan strim ‘live’ di Tonton, Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri diumum Artis Komedi Popular.