SUNGAI PETANI: Dua kanak-kanak masing-masing berusia 3 dan 5 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ternakan udang di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 2 petang tadi, jasad Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, dan sepupunya, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3, ditemukan tersangkut pada pukat dalam kolam terbabit.
Kejadian disedari bapa salah seorang mangsa, Mohd Ali Abdul Rahman, 48, yang curiga apabila anak lelaki serta anak saudaranya hilang dari pandangan.
“Sebelum kejadian, saya nampak anak saya bersama sepupunya sedang bermain dengan arnab peliharaannya di bawah bangsal berdekatan kolam udang itu.
“Namun, selang beberapa minit kemudian saya lihat mereka sudah tiada dan hanya arnabnya sahaja yang masih ada di bangsal itu,” katanya.
Katanya, ketika itu dia mengesyaki berkemungkinan dua bersaudara itu jatuh dalam kolam ternakan udang berkenaan.
“Saya kata, “Ya Allah!” sahih anak aku duduk dalam kolam ni dah tapi saya hanya tawakal dan saya cuba tarik pukat namun terasa berat.
“Saya kemudian meminta bantuan jiran untuk menarik pukat berkenaan dan apabila ditarik kali pertama, terus dapat sepupunya (Muhammad Syafiq Amsyar) sebelum tarik kali kedua tapi tak dapat dan yang tarik ketiga baru dapat anak saya,” katanya.
Kata Mohd Ali, dia yang juga pekerja di kolam udang berkenaan sering membawa anaknya, Muhammad Aidil Adha, anak keenam dari tujuh beradik apabila datang bekerja di kolam udang itu.
Tambahnya kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda untuk mendapatkan rawatan tetapi mereka disahkan sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.