Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Siasatan terhadap Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa wajar dilakukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat ‘kacang hantu’ yang perlu dibanteras dalam jabatan-jabatan berkenaan.
“Memang mungkin ada kacang kacang hantu. Dia memang wujud dan sentiasa wujud”
“Oleh sebab itu, kacang hantu (menjadi punca) kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ia harus dibanteras.” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (JPP NACCOL) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putrajaya.
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata, beliau bersetuju dengan tindakan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan siasatan itu dijalankan.
“Saya amat bersetuju dengan Perdana Menteri melakukannya (siasatan) tetapi saya fikir tidak adil untuk menuduh seluruh jabatan itu melakukan perkara sedemikian”
“Adalah cukup adil jika siasatan dapat dilakukan untuk melakukan pencerahan”
“Jika ianya benar, mesti diperbaiki. Jika ianya tidak benar ia mesti dilakukan pencerahan. Tidak wajar lakukan tuduhan secara rambang.” Katanya.
Semalam, media melaporkan Datuk Seri Anwar dalam Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri mendedahkan beliau menerima maklumat wujudnya unsur salah guna kuasa di JPN iaitu proses untuk mendapatkan sijil warga negara dengan bayaran tertentu.
Dalam masa yang sama beliau berkata, masih ada kelompok kecil dalam JIM yang selesa dengan amalan lama khususnya pelakuan rasuah.