comscore
Tumpuan :
Nasional

Wujudkan ‘task force’ bersama kerajaan pusat tangani banjir – EXCO Johor

Oleh: Zahir Senapiah.

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan mewujudkan ‘task force’ (pasukan petugas) membabitkan kerajaan pusat khusus bagi menangani isu banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan di negeri itu.

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pasukan itu akan diminta mencari kaedah penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir kilat yang berlarutan sekian lama.

Katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah berusaha membersihkan longkang dan laluan air yang tersumbat dalam kawasannya.

Namun pendekatan itu dilihat hanya bersifat jangka pendek dan setiap kali hujan, banjir akan kembali melanda kawasan terbabit.

“Hasil penelitian yang dijalankan kita mendapati banjir turut berpunca daripada kawasan yang diuruskan oleh JKR dan JPS yang gagal diselenggara dengan baik. Justeru, pasukan khas itu diharap dapat menangani isu berkenaan secara bersepadu sekaligus mampu menyelesaikan isu yang berlarutan sejak sekian lama itu” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat rumah penduduk yang bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Sulaiman Menteri, dekat sini, Rabu lalu.

Jelasnya, isu ‘hotspot’ banjir yang sering dilaporkan bukan saja membabitkan kawasan MBJB malah semua PBT kerana ia berkait rapat dengan agensi pusat seperti JKR dan JPS.

Terdapat kira-kira 120 ‘hotspot’ banjir di 16 kawasan PBT di Johor dan daripada jumlah itu 36 daripadanya terdapat di MBJB.

Justeru kerajaan negeri berharap penubuhan pasukan khas itu mampu mencari penyelesaian secara tuntas kepada itu banjir kilat terbabit.

Dalam kejadian terbaru petang semalam, beberapa lokasi di sekitar Johor Bahru termasuk Kampung Ubi, Kampung Hajah Hasnah dan Lebuh raya Pasir Gudang dilanda banjir kilat.

Hujan lebat lebih satu jam itu menyebabkan lebuh raya menghala ke pasir gudang ibarat sungai menyebabkan ratusan kenderaan terperangkap.

Loading...
Terkini