Tumpuan :
Nasional

Wujudkan pusat rujukan kesihatan mental kanak-kanak 

Foto hiasan

Oleh: Aslina Abu Bakar

BANGI: Pihak berwajib perlu mewujudkan pusat rujukan kesihatan mental kepada kanak-kanak seawal usia mereka enam tahun.

Usaha itu wajar memandangkan masalah mental dalam kalangan remaja berusia 16 tahun dilihat membimbangkan.

Pakar Psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, pusat berkenaan boleh diwujudkan di klinik-klinik kerajaan yang mengkhususkan seorang pakar atau kaunselor bertauliah untuk membantu dan mendiagnos kesihatan mental kanak-kanak.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli

Jelasnya, ia penting kerana simptom tekanan mental dan depresi dalam kalangan remaja 16 tahun sebenarnya sudah terbentuk seawal usia mereka 10 tahun lagi.

“Masalah tekanan mental atau depresi di sebabkan oleh beberapa faktor, dan paling popular ia berpunca daripada tekanan keluarga, rakan sebaya, kelemahan mengendali emosi diri termasuk faktor media sosial.

“Selain itu, kebanyakan ibu bapa juga hanya memikirkan keperluan asas anak seperti makan minum serta tempat tinggal sahaja, namun mereka tercicir tentang ilmu kesihatan mental anak-anak,”katanya.

Jelasnya rasa ingin bersaing dan membuat perbandingan daripada segi akademik, sosial dan materialistik dalam diri remaja amat tinggi juga boleh menjurus mereka kepada masalah depresi dan anxiety.

“Bagi mengelak masalah mental dalam kalangan mereka berlaku di peringkat terlalu awal, maka tempat rujukan ini seharusnya diwujudkan bagi membantu dan mengawal masalah ini daripada terus merebak.

“Khidmat guru kaunselor di sekolah bukan tidak membantu, tetapi ia tidak dilihat sebagai proses mengenalpasti masalah mental dan tidak boleh merawat mereka, jadi perlu ada pakar dan doktor yang bertauliah untuk membuat ‘screening’ di peringkat lebih awal.

“Ia penting kerana di usia berkenaan mereka boleh dibentuk dan diajar cara mengurus emosi dan permulaan mereka membina asas personaliti.

Khamis lalu, Kementerian Kesihatan KKM merekodkan peningkatan hampir tiga kali ganda dalam kes kesihatan mental dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun ke atas.

Statistik membimbangkan itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, ketika memaklumkan cabaran dalam sektor kesihatan negara, yang diperincikan dalam Kertas Putih Kesihatan.

Katanya, peningkatan daripada 11 peratus pada 1996 kepada 29 peratus pada 2015 itu, menunjukkan masalah kesihatan mental bagi penduduk berusia 16 tahun ke atas semakin melarat.

Loading...
Terkini