comscore
Tumpuan :
Nasional

Wujudkan kerangka undang-undang sokong pembangunan ADR

Foto: NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Satu rangka kerja undang-undang yang kukuh harus diwujudkan dan dikekalkan bagi membantu menyokong pembangunan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR).

Kata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, ia bagi memastikan Malaysia dapat mencapai aspirasinya menjadi hab global bagi ADR dalam pada memastikan inklusiviti terutama dalam konsep akses kepada keadilan.

“Pindaan Akta Timbang Tara 2005 baru-baru ini membuktikan komitmen teguh kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mudah diakses dan berdaya saing di peringkat global.

“Selain memperkukuh asas undang-undang, adalah amat penting bagi membina kerjasama antara kerajaan, perniagaan, dan komuniti untuk mencapai pembangunan progresif dalam ADR.

“Usaha kerjasama ini membolehkan kita menarik kepakaran setiap pihak berkepentingan, menyumbang kepada pembinaan amalan ADR yang mampan dan jangka panjang yang memenuhi jangkaan unik pelbagai industri.”

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Rasmi ‘ASIA ADR WEEK 2024’ di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), pagi tadi.

Katanya, ADR juga memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan transformasi air, yang juga merupakan bidang kuasa Kementeriannya.

“Kerajaan baru-baru ini mengumumkan penubuhan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi penjualan elektrik hijau rentas sempadan kepada negara jiran. Jadi penting juga untuk kita lihat Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat yang dapat memperluaskan akses kepada elektrik hijau untuk entiti korporat.

“Apabila sektor tenaga mengalami perubahan, ia sering menimbulkan konflik.

“Oleh itu, rangka kerja dan sistem yang menyeluruh adalah penting untuk memastikan penyelesaian pantas terhadap isu-isu berbangkit selain memastikan satu bentuk kerjasama dapat dijalankan ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan.

“Begitu juga dalam perkara penting yang melibatkan air. Perubahan iklim dan pertambahan penduduk yang memberi kesan kepada sumber dan permintaan air, boleh membawa kepada ketegangan antara pelbagai pihak berkepentingan, termasuk komuniti tempatan, industri, dan pihak berkuasa tempatan.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini