comscore
Tumpuan :
Nasional

WSC Lyon 2024 peluang teroka kepelbagaian teknologi, amalan baik TVET

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penyertaan kontinjen negara dalam Pertandingan Worldskills 2024 di Lyon, Perancis (WSC Lyon 2024) berpeluang untuk meneroka kepelbagaian teknologi serta amalan baik sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia seterusnya diadaptasi dalam pelaksanaan program TVET sejajar hasrat kerajaan mengiktiraf sektor tersebut sebagai pemacu perubahan ekonomi negara dan pilihan utama kerjaya rakyat Malaysia.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya melihat WSC Lyon 2024 dapat berperanan sebagai wadah pertandingan di peringkat antarabangsa bagi menilai prestasi dan mengiktiraf bakat berkemahiran yang dihasilkan melalui program TVET,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kontinjen negara diwakili 15 peserta dalam WSC kali ke-47 yang berlangsung mulai esok hingga 16 September depan.

Mereka akan bertanding dalam 14 bidang kemahiran termasuk bidang kemahiran berteknologi tinggi seperti Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Web Technologies, Automobile Technology, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Zahid, sokongan komprehensif kerajaan dalam memastikan kontinjen negara mempunyai momentum terbaik dizahirkan melalui penyediaan latihan intensif bersama pakar negara dan pihak industri serta penyertaan pertandingan persahabatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, penganjuran program motivasi turut dilakukan bagi mengukuhkan aspek fizikal dan mental dalam kalangan peserta.

“Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia sentiasa konsisten memberi sokongan penuh dan mendoakan kejayaan wira dan wirawati negara dalam usaha melakar kecemerlangan di pentas WSC Lyon 2024 ini.

“Semoga usaha menempa kejayaan di persada antarabangsa ini dapat direalisasikan dan seterusnya ia menjadi simbolik refleksi kecemerlangan sektor TVET negara,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk memberi insentif wang tunai kepada pemenang pertandingan yang mengiktiraf bakat kemahiran di peringkat antarabangsa itu, sebagai pencetus dorongan dan galakan bagi melakar kecemerlangan.

Pemenang pingat emas bakal menerima RM40,000 manakala masing-masing RM20,000 dan RM10,000 untuk pingat perak serta gangsa, selain RM4,000 bagi peserta yang memperoleh Medallion for Excellence.

Selain itu, peserta yang memenangi pingat emas, perak atau gangsa akan turut dianugerahkan pensijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini