Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima, TV9 merapatkan saf bersama rakan sinergi media lain dalam menjayakan program World Hashtag Quran-Hour yang akan disiarkan secara langsung selama sejam bermula 12 hingga 1 tengahari pada 13 April ini.
Kolaborasi buat julung kali bersama program di bawah kendalian Yayasan Warisan Ummah Iklas (WUIF) itu sebagai tanda sokongan TV9 dalam penyebaran aktiviti dakwah di dalam negara.
Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman berkata, seiring dengan stesen TV yang mengetengahkan program Islamik, ia menjadi tanggungjawab saluran itu menjemput orang ramai memeriahkan World Quran-Hour yang akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“ Usaha ini juga susulan kerjasama dijalankan menerusi program My Quran-Time 2.0 yang dibawakan oleh WUIF melalui dana Tabung Gerakan Al-Quran sejak Lima Februari lalu.
“Ini adalah salah satu permulaan dan kami akan bekerjasama lebih lagi dengan WUIH untuk menerbitkan lebih banyak lagi program berbentuk dakwah,”katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff berkata, untuk penganjuran tahun ke lapan, pihaknya memilih Surah al-Insan dengan membawa tema ‘Memanusiakan Ummah’ dalam usaha merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga.
Menurutnya lagi, antara media yang turut menjayakan program dalam misi mencapai 1.6 billion peserta dari seluruh dunia itu adalah TV3, New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro.