Tumpuan :
Nasional

Wisma Putra terima nota diplomatik sahkan lawatan PM ke Arab Saudi

PETALING JAYA: Kementerian Luar telah menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di ibu negara bertarikh 21 Mac lalu, yang mengesahkan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menjelaskan, Nota Diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada kerajaan Arab Saudi.

Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut merujuk lawatan rasmi Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud serta Putera Mahkota, Mohammed Salman.

“Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al-Munawwarah.

“KLN ingin menjelaskan bahawa Nota Diplomatik adalah antara komunikasi paling rasmi antara Kerajaan dengan Kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, KLN telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan Perdana Menteri ke Arab Saudi secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.

KLN turut memaklumkan isu yang dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu, dan tindakan sedemikian jelas tidak adil kepada Kerajaan Malaysia dan juga kepada Kementerian Luar Negeri dan Kerajaan Arab Saudi.

“Ini kerana perkara yang dibangkitkan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar berhubung lawatan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan kesan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi minggu lalu.

Ia susulan, PN mempertikaikan impak lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke Arab Saudi dengan menuntut penjelasan kerajaan atas kegagalan Datuk Seri Anwar bertemu Raja Salman dan Putera Mohammed Salman.

Loading...
Terkini