Tumpuan :
Nasional

Wisma Putra pantau situasi keselamatan di Republik Demokratik Congo

Lelaki berdiri di hadapan stesen minyak yang telah diserang semasa pertempuran yang menyebabkan kejatuhan bandar Goma kepada kumpulan M23, di timur Republik Demokratik Congo.-FOTO REUTERS

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Kementerian Luar memantau rapi perkembangan keselamatan di Republik Demokratik Congo (DRC) susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara berkenaan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat 7 Februari, bandar Goma yang merupakan bandar terbesar di bahagian timur DRC masih berada di bawah kawalan kumpulan M23.

Pihak kementerian juga sedang berhubung secara berterusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia, yang turut diakreditasi ke DRC, serta Kementerian Pertahanan bagi menilai situasi dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terlibat.

“Kementerian mengesahkan bahawa semua pegawai Malaysia yang bertugas di DRC di bawah Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penstabilan di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) berada dalam keadaan selamat.

“Namun, pergerakan kakitangan PBB dihadkan hanya di dalam kawasan kompleks PBB atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang bercadang ke DRC agar menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan keselamatan kembali stabil.

Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia, menerusi talian (+264-61) 259 342 atau (+264-61) 259 344, atau melalui e-mel di [email protected].

Wisma Putra akan terus memantau perkembangan dan memberikan makluman terkini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini