KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong di kawasan Asia Barat supaya kekal berwaspada dan terus mengikuti perkembangan situasi semasa.
Ia dipercayai susulan situasi yang masih tegang di antara Iran dengan rejim Zionis.
Mengikut kenyataan itu, Wisma Putra turut meminta rakyat di Asia Barat untuk sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan.
Mereka juga disaran untuk merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran di alamat No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb.
Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran juga boleh dihubungi menerusi nombor telefon +98 21 880724444 dan +98 21 88078606 atau email kedutaan, [email protected] atau [email protected].
Wisma Putra berkata Malaysia kini sedang memantau situasi terkini di Asia Barat.
“Dalam hal ini, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk meredakan ketegangan dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian diplomatik,” kata kenyataan itu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan bersedia membawa pulang warga Malaysia di Iran jika perkembangan konflik antara negara itu dan rejim Zionis semakin membimbangkan.
Katanya, ketetapan itu dimuktamadkan menerusi mesyuarat yang diadakan pagi tadi.
Terdahulu, Al Jazeera melaporkan Iran mematahkan serangan dron yang dilancarkan rejim Zionis, pagi ini.
ABC News pula melaporkan sumber kerajaan Amerika Syarikat mengesahkan serangan peluru berpandu di beberapa lokasi di Iran.
Agensi berita Iran, Iranian Fars melaporkan berlaku letupan di Isfahan, Iran menyebabkan operasi penerbangan di ruang udara negara itu terutama ke Tehran, Isfahan dan Shiraz dihentikan.
Isfahan adalah lokasi yang dikaitkan dengan program nuklear Iran, termasuk tapak bawah tanah Natanz yang menjadi sasaran serangan Israel sebelum ini.
Bagaimanapun, siaran televisyen Iran, IRNA dalam laporannya menyifatkan semua tapak di kawasan itu setakat ini ‘selamat sepenuhnya’.
Pada Sabtu lalu, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.