Tumpuan :
Nasional

Wisma Putra buat laporan polis, mahu siasatan penyebaran nota diplomatik

FOTO: Kenyataan Wisma Putra

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Wisma Putra membuat satu laporan polis bagi membolehkan siasatan dimulakan berhubung penyebaran satu salinan Nota Diplomatik bertaraf sulit yang diterima Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra menjelaskan, hasil siasatan dalaman pihaknya mendapati penyebaran nota tersebut bukan berpunca daripada pihak dalaman.

“Kementerian Luar memandang serius dan amat kesal dengan tindakan penyebaran satu salinan Nota Diplomatik bertarikh 20 September 2023 bertaraf sulit yang diterima oleh Kedutaan Besar Malaysia di Rabat.

“Kementerian Luar sentiasa menekankan kepentingan memelihara kerahsiaan komunikasi diplomatik dengan negara-negara sahabat dan rakan-rakan antarabangsa lain. Penyebaran dokumen berkenaan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, kementerian juga telah memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada negara sahabat berkenaan dan menyatakan kekesalan di atas perkembangan terbabit.

Terdahulu, satu nota diplomatik tersebar di media sosial berkaitan dengan seorang lelaki mendakwa warga Maghribi dan mengaku berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Mengulas lanjut, Wisma Putra akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di dalam proses siasatan susulan laporan polis berkenaan.

“Kementerian Luar menggesa supaya tindakan penyebaran dokumen berkenaan dihentikan, mengambil kira implikasi negatif kepada keyakinan dan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap imej dan integriti Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini