PUTRAJAYA: Bagi ibu bapa yang masih tercari-cari apakah aktiviti sesuai untuk anak-anak sempena cuti sekolah yang bermula hari ini, bolehlah berkunjung ke Wetland Studios Putrajaya.
Bukan taman tema biasa, Wetland Studios Putrajaya merupakan sebuah taman tema didik hibur dalaman berhawa dingin berteraskan teknologi.
Terletak di Taman Wetland Putrajaya, iaitu wetland air tawar buatan manusia terbesar di kawasan tropika, taman tema ini menawarkan tarikan dan kandungan bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar.
Projek yang dibangunkan hasil kerjasama Perbadanan Putrajaya dan KRU Studios Sdn.Bhd. ini juga bertujuan menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya kepada masyarakat setempat dengan keindahan flora dan faunanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, taman berkonsep didik hibur tersebut menyajikan pelbagai jenis informasi dan pengetahuan berkenaan kehidupan bumi.
Jelasnya, pengunjung akan menempuhi satu pengalaman unik dan berbeza jika dibandingkan dengan taman-taman tema sedia ada.
“Mereka akan dibawa memasuki alam hibrid secara maya dan fizikal, tetapi pada masa sama dapat mendalami tentang sejarah bumi dan makhluk yang hidup di permukaannya.
“Terutamanya, taman tema berkonsep didik hibur ini akan memupuk kesedaran tentang peranan kepentingan air terhadap ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok dan bunga,” katanya semasa sesi lawatan bersama media sempena operasi hari pertama, semalam.
Tarikan di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti replika haiwan animatronik serta hiasan berkonsepkan alam semula jadi.
Lebih canggih, seperti mana penonton menyaksikan karya-karya milik KRU, taman tema tertutup berkenaan turut memanfaatkan kemajuan teknologi seperti hologram, realiti tambahan (AR), realiti campuran (MR) serta realiti maya (VR) dan juga kandungan digital animasi KiKaKo Kids sebagai tarikan.
Wetland Studios Putrajaya bakal dilancarkan secara rasminya September depan dengan pembukaan kesemua 15 ruangan termasuk tarikan tambahan Panorama, Lakes & Rivers dan Majestic Ocean.
Sepanjang tempoh prapelancaran ini, Wetland Studios Putrajaya menawarkan harga istimewa kepada pengunjung dengan RM25 bagi dewasa serta RM15 bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke atas dan warga emas.
Wetland Studios Putrajaya beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 petang, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum.