Tumpuan :
Nasional

WCE mulakan kutipan tol di Plaza Tol Banting tengah malam tadi

FOTO: West Coast Expressway / Facebook

KUALA LUMPUR: Kutipan tol di Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi Jajaran Seksyen 1, yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Banting ke Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) mula dilaksanakan tengah malam tadi.

Dalam satu kenyataan, WCE memaklumkan jajaran sepanjang 12.5 kilometer (km) yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi itu, sebelum ini beroperasi secara percuma selama sebulan sejak 31 Ogos lalu.

“Kadar tol dan kaedah pembayaran kadar tol di Seksyen 1 Lebuhraya WCE berintegrasi sepenuhnya dengan Lebuh raya SKVE melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas.

“Kadar tol yang dikenakan telah mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna, termasuk bahagian perjalanan di Lebuh raya SKVE.

“Kutipan tol Seksyen 1 ini akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID.

“Justeru, pengguna dinasihatkan untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch ‘N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kadar tol dan cara pembayaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang WCE atau muat turun aplikasi WCE App atau menghubungi WCE infoline di talian 1700-81-6600 atau e-mel di [email protected] jika menghadapi sebarang masalah dengan pembayaran tol.

WCE adalah projek lebuh raya utama di Malaysia sepanjang 233 km dari Banting, Selangor hingga ke Taiping (Changkat Jering), Perak dan akan berfungsi sebagai nadi penting pengangkutan, yang akan menghubungkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini