Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Waktu Kerja Berlainan (WBB) bagi petugas kesihatan masih lagi di peringkat cadangan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan perkara itu belum diluluskan oleh pihaknya, mahupun dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“WBB yang sebenar-benarnya adalah satu cadangan dan masih di peringkat cadangan.
“Saya perlu tegaskan perkara tersebut kerana ia adalah usaha berterusan penambahbaikan sama ada dari sudut ‘care delivery’ atau ‘service delivery’ mahupun sudut kebajikan health care worker kita atau staf, kaki tangan kita.
“Ini adalah ke arah menambah baik. Apa pun, ini cadangan yang masih dalam status cadangan dan belum sampai kepada saya. Jauh lagi kepada JPA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Tahun Satu Kategori B40 dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2).
Menurut Dr Dzulkefly, beliau kesal dengan tindakan ‘membocorkan’ usaha itu yang masih dalam peringkat awal.
“Malangnya ia telah semacam didedahkan mungkin sengaja mungkin tak sengaja. Itu soal lain. Soalan pertama bagi saya, saya belum meluluskan lagi cadangan ini.
“Belum lagi (dibawa) ke JPA. Apa pun kegusaran, ada pros and cons pada setiap cadangan ada baik buruknya.
“Sebab itu saya mahu pastikan bahawa kita melalui satu ‘stringent engagement and evaluation’ dan pastinya saya akan melibatkan paling-paling tidaknya dengan pengarah-pengarah hospital, specialist dan department speciality. Itu sangat mustahak,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.