Tumpuan :
Nasional

Waspada Unsur Menghancurkan, Hayati Erti Kemerdekaan – Sultan Selangor

FOTO: Selangor Royal Office

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj mengingatkan agar seluruh rakyat Malaysia sentiasa berwaspada terhadap unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang dinikmati hari ini.

Menerusi Selangor Royal Office sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini, baginda juga menyeru agar rakyat terus menghayati erti sebenar kemerdekaan di samping menyuburkan rasa cinta kepada tanah air dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap nusa serta bangsa.

“Baginda berharap rakyat tidak ‘buta sejarah’ dengan melupakan jerih-perih perjuangan serta pengorbanan orang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara ini.

“Dengan mengetahui sejarah negara sendiri, rakyat Malaysia boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga mahu rakyat kekal hidup aman dalam suasana yang harmoni, hormat-menghormati, bersatu-padu dan saling bertoleransi dalam semua aspek kehidupan.

“Baginda menyeru agar kita semua terus berganding bahu dalam memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara.

“Jangan sesekali mencampuradukkan isu politik, perkauman dan agama yang boleh mencetus pertelagahan dan memecah-belahkan rakyat,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 kepada seluruh rakyat Malaysia. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini