
KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berwaspada sekiranya menerima mesej menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) mengandungi pautan berkaitan lesen memandu kononnya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan jabatan itu tidak pernah menghantar mana-mana pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui SMS kepada orang awam.
Beliau berkata, semakan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung SMS berkenaan yang dihantar menggunakan nama MyJPJ.
“Jabatan ini mengenal pasti SMS yang dihantar menggunakan nama MyJPJ itu mengandungi pautan ‘pishing’ (pancingan data) untuk tujuan memperdaya orang awam.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan JPJ yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian.
“Sebaliknya orang ramai perlu merujuk atau menghubungi JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aedy Fadly berkata, pihak JPJ sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutama pelanggan JPJ sentiasa terpelihara.
Katanya, orang ramai yang mahu membuat sebarang aduan rasmi, boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ – https://jpj.spab.gov.my/ .
Sementara itu, SMS palsu yang dihantar kononnya dari MyJPJ itu mengandungi pesanan dalam bahasa Inggeris meminta penerima membuka pautan yang disertakan sekiranya tidak mahu lesen memandu mereka dinyahaktifkan atau dibatalkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.