Tumpuan :
Nasional

Waspada serangan obor-obor di pesisir pantai Pulau Pinang

Pengunjung melakukan aktiviti sukan air di pesisir pantai Batu Feringghi dan Pantai Miami. – FOTO : NSTP

GEORGETOWN: Pengunjung yang mandi atau melakukan aktiviti air di sekitar pesisir pantai di negeri ini dinasihati supaya berwaspada daripada serangan obor-obor.

Ia susulan amaran oleh Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang di sini, mengenai obor-obor yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia jika terkena sengatannya.

Tinjauan di sekitar Pantai Batu Feringghi yang juga pantai popular dalam kalangan pelancong itu mendapati, aktiviti sukan air beroperasi seperti biasa dan terdapat papan tanda amaran mengenai serangan obor-obor di laluan masuk ke kawasan pantai berkenaan.

Di Pantai Miami, Jalan Batu Feringghi pula, kebanyakan pengunjung tidak menyedari amaran berkenaan dan tiada papan tanda larangan diletakkan di kawasan itu.

Operator sukan air, Anuar Abdul Aziz, 54, berkata, serangan obor-obor memang biasa berlaku di mana-mana kawasan pantai termasuk di Batu Feringghi namun ia bukanlah terdiri daripada jenis yang boleh membawa maut.

Katanya, selain tidak mempunyai musim tertentu, obor-obor itu biasanya merapat ke pesisir pantai selepas cuaca hujan atau apabila air dicemari dengan sisa dibuang terus ke laut yang menjadi makanannya.

“Memang ada kejadian pengunjung terkena sengatan obor-obor sebelum ini namun ia hanya menyebabkan kegatalan pada kulit mangsa.

“Di sini, kami sudah sediakan cuka sebagai kaedah rawatan jika ada pengunjung yang terkena sengatan dan biasanya kegatalan itu akan hilang antara tempoh 15 hingga 30 minit kemudian,” katanya yang berpengalaman selama 30 tahun sebagai operator sukan air.

Sehubungan itu, Anuar berkata, sempena cuti sekolah yang sudah bermula, orang ramai tidak perlu bimbang bagi mandi manda dan perlu menjaga keselamatan diri ketika berada di kawasan pantai terutama kanak-kanak.

Pengunjung dari Jeniang, Kedah, Juliza Jaafar, 37, pula berkata, dia baharu sahaja tiba di Pantai Miami berikutan cuti sekolah yang sudah bermula hari ini.

Menurutnya, dia yang datang bersama 12 ahli keluarga juga tidak mengetahui mengenai amaran terhadap serangan obor-obor di pesisir pantai negeri itu.

“Jadi saya cadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) letakkan papan tanda amaran di kawasan ini serta cara rawatan awal jika terkena serangannya.

“Walaupun jarang kita dengar mengenai serangannya ke atas manusia, namun kami turut berhati-hati dan saling mengingatkan sesama ahli keluarga mengenai kewujudannya di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Aileen Tan berkata, obor-obor paling banyak dikesan di pantai Batu Feringghi ialah jenis Chiropsoides Buitendijki yang ditangkap pada jarak kira-kira 650 meter (m) hingga 200m dari pesisir pantai.

“Obor-obor itu boleh menyebabkan kegatalan atau kulit rasa seperti terbakar dan perlu dirawat segera terutama bagi yang mengalami komorbiditi seperti diabetes atau hipertensi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini