comscore
Tumpuan :
Nasional

Waspada Ketika Berkelah Elak Jadi Mangsa Kepala Air

KUALA BERANG: Orang ramai dinasihatkan mengelak daripada mengunjungi kawasan berisiko berlakunya fenomena kepala air berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, fenomena kepala air di Sungai Latar Hulu Kasar, Setiu semalam boleh berlaku di sungai lain atas faktor cuaca.

Katanya, kepala air yang berlaku itu agak besar dan difahamkan majoriti pengunjung adalah penduduk setempat serta dari daerah di negeri ini.

“Tidak mustahil kejadian seumpama boleh berlaku di kawasan sungai lain. Oleh itu kita berharap masyarakat lebih peka dengan keadaan cuaca sekarang.

“Polis akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat hebahan tentang bahaya kejadian kepala air atau meletakkan papan tanda amaran di kawasan yang berisiko.

“Pengunjung juga perlu menilai tahap risiko sebelum membuat keputusan untuk ke kawasan-kawasan sungai bagi tujuan rekreasi,” katanya di Majlis Perasmian Produk Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Pengkalan Lawit Tasik Kenyir di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, enam kenderaan tenggelam di Sungai Latar Hulu Kasar selepas berlaku fenomena kepala air.

Rohaimi berkata, seramai 32 mangsa terbabit dalam kejadian itu namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan melainkan kenderaan yang mengalami kerosakan akibat ditenggelami air.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini