KUANTAN: Penduduk di sekitar Sungai Belat dan Sungai Kuantan di sini, dinasihatkan berwaspada dan tidak mengambil tindakan sendiri jika terlihat buaya pada musim tengkujuh ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozaidan Md Yasin, berkata kejadian air pasang dan banjir yang menyebabkan air sungai melimpah, membolehkan reptilia itu keluar daripada habitat asalnya.
Beliau berkata, kejadian limpahan Sungai Air Hitam iaitu anak Sungai Belat dipercayai punca seekor buaya dikesan berada atas jalan di Kampung Air Hitam berhampiran Sri Damai di sini Isnin lalu .
Gambar reptilia itu tular di media sosial, kelmarin.
“Pemantauan pihak kami semalam (kelmarin) mendapati buaya itu tiada di lokasi berkenaan. Bagaimanapun, penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berwaspada kerana anak sungai itu adalah habitat buaya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Rozaidan berkata, selain Sri Damai dan Air Hitam, penduduk kawasan Inderapura, Sungai Isap, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan kawasan berhampiran tali air Kampung Razali serta Kampung Jawa juga perlu berwaspada.
Beliau berkata, penduduk dinasihat mengelak daripada melakukan aktiviti berhampiran sungai dan memastikan terdapat jarak sesuai untuk memberikan masa dan peluang menyelamatkan diri jika terserempak dengan buaya.
“Orang ramai diminta berhati-hati jika menaiki bot dan seboleh-bolehnya berada di tengah bot serta buatkan bunyi bising kerana reptilia berkenaan menjadi kurang selesa, sekali gus akan menjauhi bot.
“Jangan menghampiri sarang atau cuba menangkap anak buaya. Naluri keibuan buaya sangat kuat dan akan bertindak ganas jika diganggu,” katanya.
Rozaidan berkata, penduduk juga perlu menggunakan lampu suluh ketika berada berhampiran air pada waktu malam, bagi memudahkan mereka mengesan kehadiran reptilia itu yang matanya akan berkilau apabila disuluh.
“Penduduk yang mengesan haiwan itu dinasihatkan tidak menghampirinya dan menghubungi PERHILITAN segera menerusi di talian 09-5733811 atau hotline di 1-800-88-5151,” katanya. – BERNAMA