Tumpuan :
Nasional

Waspada Bot Rekreasi Haram Di PD, Melaka

Foto: APMM

MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggiatkan operasi memburu jurumudi haram dan bot rekreasi yang beroperasi tanpa lesen di pantai peranginan sekitar Melaka serta Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Melaka / Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesalahan itu dikesan ketika pihaknya menjalankan rondaan keselamatan serta menyantuni pengunjung yang bercuti di pantai peranginan sekitar negeri itu 7 dan 8 September lalu.

Beliau berkata, selain melakukan rondaan darat bermula dari Pantai Puteri, Melaka hingga ke Port Dickson, Negeri Sembilan, pasukan APMM turut menjalankan penguatkuasaan terhadap bot rekreasi yang beroperasi tidak mengikut undang-undang ditetapkan.

“Sepanjang dua hari itu, kami menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 10 bot yang beroperasi di sekitar pantai peranginan dua negeri ini. Hasilnya dua bot didapati beroperasi tidak mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Antara kesalahan dikesan adalah bot beroperasi tanpa lesen dari Jabatan Laut Malaysia dan jurumudi berusia 19 tahun tidak memiliki Certificate Of Competency,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan pihaknya mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti berapa lama bot-bot ini beroperasi tanpa mengikut undang-undang ditetapkan.

“Tetapi kebiasaannya, apabila menyedari kehadiran bot ronda APMM, mereka akan bertindak menaikkan bot ke tepi pantai,” katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, pihaknya menasihati komuniti maritim termasuk pengunjung pantai rekreasi mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di air.

“Malah pengunjung juga diminta sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang tidak menentu pada fasa peralihan Monsun Timur Laut di pertengahan bulan ini.

“Selain itu, orang ramai atau penduduk setempat yang mempunyai sebarang maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, boleh menyalurkan terus kepada APMM untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini