comscore
Tumpuan :
Nasional

Waspada ancaman ular berbisa ketika cuaca panas – APM

Foto hiasan

ALOR SETAR: Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan ancaman ular berbisa ketika melakukan pembersihan kawasan rumah dalam tempoh fenomena cuaca panas yang sedang melanda pada masa ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA) Kol (PA) Fazlisyah Muslim berkata cuaca panas melampau menyebabkan reptilia berbisa seperti ular mencari tempat perlindungan baharu yang lebih sejuk dan gelap termasuk
di kawasan kediaman.

“Ancaman ular begitu tinggi pada waktu panas, banyak kes kita terima … jadi, nasihat saya agar penduduk lebih berhati-hati ketika mengemas atau mencuci kawasan rumah seperti di stor, tandas, bilik dan dapur menjelang perayaan (Tahun Baharu Cina) ini.

“Kebanyakan kes ancaman ini bukan sahaja berlaku di kampung atau pedalaman, tetapi banyak juga diterima di kawasan pekan, bandar yang banyak taman perumahan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai juga dinasihatkan agar tidak bertindak sendiri menangkap haiwan berbisa, sebaliknya menghubungi APM atau pihak berkaitan.

“Adalah lebih baik periksa terlebih dahulu kawasan tersorok dan gelap dengan kayu, jolok-jolok dulu untuk memastikan tiada ular bersembunyi …. Elakkan membersih rumah secara bersendirian. Dalam keadaan kecemasan, orang lain yang berada bersama kita boleh menjadi penting untuk maklum balas yang cepat dan memastikan sebarang insiden ditangani dengan segera dan cekap,” katanya.

Fazlisyah berkata statistik menunjukkan APM telah mengendalikan sebanyak 104,859 kes tangkapan ular di seluruh negara pada tahun lepas dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 16,160 kes, diikuti Johor (11,163), Perak (11,093), Kelantan (9,788) dan Kedah (8,067).

Beliau berkata bagi Januari tahun ini sahaja, APM sudah merekodkan 10,296 kes tangkapan ular di seluruh negara, kebanyakannya membabitkan ular sawa batik, tedung selar dan ular senduk.

Fazlisyah berkata bagi Kedah, ular lebih kerap ditemukan dan ditangkap di kawasan bandar dengan Alor Setar mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,478 kes, Kuala Muda (1,294), Kulim (1,032), Kubang Pasu (941) dan Baling (645).

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, musim kemarau semasa dijangka berterusan dalam beberapa hari lagi dan cuaca kering serta panas diramalkan di negeri utara Semenanjung, dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Sementara itu, Fazlisyah memberi jaminan bahawa APM bersedia untuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan bagi membantu orang awam sepanjang musim perayaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini