comscore
Tumpuan :
Nasional

Wartawan hiburan meninggal dunia di London

 

KUALA LUMPUR: Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin, 40, disahkan meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London, United Kingdom (UK) akibat pendarahan dalam otak pada jam 6.30 petang waktu tempatan atau 11.30 malam tadi waktu Malaysia.

Adiknya, Siti Nor Hazlinda, 39, berkata, suami Allahyarham Fiza iaitu Mohd Roshdi Ramli sedang berbincang dengan pegawai pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia London untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak berkenaan di sana.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberi sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan,” katanya.

Siti Nor Hazlinda berkata, pendarahan otak berpunca sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.

Tambahnya, kejadian berlaku beberapa jam sebelum kakak, suami dan dua anak mereka berlepas pulang ke tanah air. Malah, percutian ke London adalah hajat terakhir Fiza bagi meraikan kedua-dua anaknya iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

“Sebelum ini, kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum berangkat. Tetapi kakak beritahu dia sudah janji hendak bawa anak-anak bercuti.

“Kakak hendak menggembirakan mereka. Malah, itu adalah hajat terakhir kakak untuk bersama suami dan anak-anak,” katanya.

Semalam, Fiza dilaporkan kritikal selepas tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London.

Fiza juga wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media sebelum ini terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London.

Fiza, suami dan dua cahaya matanya berlepas pada pertengahan bulan ni dan sepatutnya pulang ke Malaysia, semalam.

Difahamkan, biarpun keadaan kesihatannya kurang baik, keluarga memilih menunaikan hajat Allahyarham Fiza bercuti atas permintaannya.

Loading...
Terkini