comscore
Tumpuan :
Nasional

Wartawan hiburan kritikal di London

Fiza kini dirawat di Hospital Charing Cross selepas tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Wartawan hiburan Fiza Kamarudin dilaporkan kritikal selepas tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.

Susulan itu, Fiza, 40, atau nama sebenarnya, Siti Nor Hafiza Kamarudin kini dirawat di Hospital Charing Cross, London.

Difahamkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum Fiza bersama keluarga berlepas pulang ke tanah air.

Sehubungan itu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) melancarkan tabung kecemasan bagi membantu memudahkan urusan Fiza.

Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, inisiatif melancarkan tabung khas selepas mendapat persetujuan daripada suami Fiza, Mohd Roshdi.

“WHAM mengambil kesempatan dengan mengalu-alukan semua pihak bagi membantu sahabat kita yang sedang berdepan dengan ujian. Biarpun sedikit, tetapi ia sangat bermakna dan dihargai.

“Kami juga mengalu-alukan sumbangan rakan artis dan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengan Fiza sepanjang kerjaya sebagai wartawan.

“Kami belum tahu berapa lama Fiza perlu mendapatkan rawatan di London dan bilakah akan dibawa pulang ke Malaysia, jadi sudah pasti keluarganya memerlukan sokongan kewangan.

“WHAM merakamkan jutaan terima kasih dan mendoakan semoga urusan Fiza dipermudahkan. Doakan untuk kesembuhan Fiza dimakbulkan,” katanya.

Fiza yang juga wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media sebelum ini terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London.

Fiza, suami dan dua cahaya matanya berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia, semalam.

Difahamkan, meskipun keadaan kesihatannya kurang baik, keluarga memilih menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaannya.

Sehubungan itu, sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Penolong Setiausaha WHAM, Mohammad Sudirman Mohd Tahir.

Loading...
Terkini