Tumpuan :
Nasional

Wartawan ditahan SPRM: NUJM tuntut siasatan adil, tidak tekan kebebasan media

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap seorang wartawan portal berita dengan penuh keadilan.

Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof berkata, siasatan itu haruslah tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini.

“NUJM mengambil maklum akan penahanan reman seorang wartawan portal berita yang juga ahli NUJM oleh SPRM,
pada malam tadi.

“NUJM dimaklumkan, dia direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi ini selepas ditahan pegawai penyiasat sekitar jam 11.30 malam, mengikut Seksyen 16
Akta SPRM.

“Oleh demikian, NUJM berharap sebarang siasatan yang dilakukan oleh SPRM memberi keadilan kepada semua pihak dan tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang petugas media di ditahan malam tadi.

Katanya, petugas berkenaan ditahan pada jam 11.30 malam tadi.

“Penahanan (wartawan itu) berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai pendedahan isu pendatang warga asing tanpa izin (PATI) seperti yang didedahkan portal berita berkenaan,” katanya.

Majistret Baveniyah R Jothi kemudian membenarkan wartawan itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Selasa susulan permohonan dibuat SPRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini