Tumpuan :
Nasional

Wartawan disyaki rasuah direman 4 hari

Suspek direman selama empat hari sehingga 4 Mac. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Wartawan sebuah portal berita direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuatnaik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

Perintah reman selama empat hari sehingga 4 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki ditahan 11.45 malam semalam di hotel di Shah Alam hasil aduan dan operasi dilakukan pegawai penyiasat SPRM.

“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang dilaporkan. Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah sebanyak RM100,000 tetapi setelah berunding, suspek bersetuju menerima ‘pendahuluan’ kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 disita.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini