comscore
Tumpuan :
Nasional

Waris mangsa tanah runtuh dapat pencen PERKESO

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menyampaikan sumbangan Kotak Prihatin PERKESO kepada ibu Allahyarmah Nurul Azwani Kamarulzaman, Siti Esah Hassan sambil disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Dasar & Antarabangsa), A. Maniam (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz (kiri) pada Majlis Penyampaian Bantuan PERKESO kepada Warus Mangsa Tanah Runtuh Batang Kali di Kampung Batu, Jalan Ipoh. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyerahkan faedah pengurusan mayat (FPM) dan bayaran berkala pencen penakat kepada waris salah seorang mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Batang, Kali, Selangor, Jumaat lalu.

Bayaran itu diserahkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, kepada ibu mangsa Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman iaitu Siti Esah Hassan, 53, di kediamannya di Lorong Haji Abdullah, di sini.

Sivakumar berkata, waris mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Mun Choong, menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kira-kira RM238 sebulan.

Katanya, Nurul Azwani adalah antara enam pencarum PERKESO yang layak menerima FPM berjumlah RM2,000 dan pencen penakat dianggarkan bernilai RM475 hingga RM2,500 sebulan.

“Semakan dibuat PERKESO mendapati Allahyarhamah adalah pencarum PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Mangsa mengikuti rombongan perkhemahan kerana menemani dua anak majikannya yang juga guru di sekolah itu,” katanya pada sidang media, di sini.

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Tragedi tanah runtuh di laluan Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya itu mengorbankan 24 mangsa manakala 60 lagi lagi berjaya ditemui selamat.

Pada masa sama, Sivakumar berkata, penyerahan faedah kepada lima waris mangsa lain akan disempurnakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, PERKESO juga sedang menyemak jumlah bayaran pencen penakat untuk waris setiap mangsa.

“Bagi tiga mangsa yang identiti masih belum dikenalpasti oleh pihak berkuasa, PERKESO akan meneliti bentuk faedah yang layak diterima setelah mereka diisytiharkan meninggal dunia oleh Mahkamah Tinggi, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan orang hilang.

Sementara itu, Siti Esah berkata, selepas empat hari kehilangan anak sulungnya itu, beliau mengakui hatinya masih ‘kosong’ ekoran selama ini, Nurul Azwani adalah penemannya di rumah selama ini.

Siti Esah yang mengakui rindu terhadap Nurul Azwani masih menebal apatah lagi anaknya itu suka tersenyum, berkata sumbangan diberikan PERKESO akan digunakan sebaiknya bagi kelangsungan hidup berikutan dirinya sudah tidak bekerja.

“Selepas dimaklumkan berlakunya kejadian tanah runtuh itu dan ayah kepada bos anak saya memaklumkan dia terkandas, saya sudah berasa tidak sedap hati dan tahu tiada harapan.

“Saya tidak boleh melihat paparan berita sebab anak saya salah seorang mangsanya…luluh hati saya dan saya sentiasa sedekahkan Al-Fatihah setiap kali rindu,” katanya.

Loading...
Terkini