GEORGE TOWN: Waris dua pelancong China yang maut dalam insiden pokok tumbang, September lalu, menuntut ganti rugi kira-kira RM1.7 juta dan permohonan maaf daripada lima pihak berhubung tragedi menimpa keluarga mereka.
Peguam, Ng Kian Nam berkata, beliau mewakili anak guamnya, Yang Xue Li, 69, yang juga balu kepada Liu Zhu, 69, dan Wang Geng Feng, 41, iaitu suami Liu Xin Xin, 36, akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada pihak berkenaan hari ini.
Menurutnya, LOD itu ditujukan kepada pengendali muzium, Pinang Peranakan Mansion Sdn Bhd, pemilik tanah muzium, SSM Capital Sdn Bhd, pemilik tanah tempat pokok terbabit tumbuh, Sri Kumaran’s Textile Sdn Bhd, agensi pelancongan Pony Holiday Sdn Bhd dan pemandu yang membawa mangsa ke muzium tersebut.
“Mangsa iaitu bapa, adalah seorang pesara yang menerima wang pencen bulanan sebanyak RM2,000 manakala anak perempuannya, merupakan penyelia latihan sebuah syarikat multi nasional dengan pendapatan sekitar RM7,000 sebulan.
“Liu Xin Xin turut meninggalkan anak berusia 11 tahun dan sehingga kini, keluarga mangsa yang berdepan kepedihan emosi mendalam turut tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak terlibat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kian Nam berkata, tuntutan pampasan sebanyak RM1,762,325.69 itu antaranya merangkumi ganti rugi kesedihan, kehilangan tanggungan, ganti rugi teladan, kehilangan elaun persaraan yang dijangka, perbelanjaan pengebumian, tiket kapal terbang, kos khas dan lain-lain.
Menurutnya, pemandu kereta agensi pelancongan terbabit turut didapati tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah dengan mangsa yang telah menempah pakej lapan hari tujuh malam ke Pulau Pinang masuk lebih dahulu dalam kenderaan ketika kejadian.
Tambahnya, pihak pertama dan kedua gagal mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi untuk memastikan keselamatan kawasan parkir yang telah ditetapkan meskipun secara konsisten menarik pelancong dan menjual tiket kepada mereka termasuk kepada mangsa.
Kian Nam berkata, pihaknya turut menghantar surat memohon klarifikasi kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mendapatkan penjelasan mengapa notis berhubung risiko pokok tumbang hanya dikeluarkan kepada pemilik tanah selepas kejadian dan bukan sebelumnya.
“Kami mahu penjelasan sama ada pengendali muzium pernah membuat aduan rasmi mengenai risiko pokok itu,” katanya menambah jika MBPP gagal memberi respons atau penjelasan yang memuaskan, pihak berkuasa tempatan itu juga akan disertakan dalam tuntutan saman berikutnya.
Media pada 18 September lalu, melaporkan dua pelancong warga China maut tersepit dalam kereta yang diparkir di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan selepas kenderaan yang dinaiki dihempap pokok tumbang dan runtuhan konkrit.
Mangsa dilaporkan baru memasuki kereta selepas melawat rumah agam berkenaan dan pokok sebesar kira-kira tiga pemeluk terbabit dikatakan tumbuh membesar dan melekat pada bangunan dua tingkat bersebelahan premis itu sebelum tumbang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.