Tumpuan :
Nasional

‘Warga Palestin itu mungkin stres’ – Panglima ATM

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (tengah) dalam sidang media sempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke 91 di Kem Segenting, Port Dickson.- Foto: NSTP

PORT DICKSON: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berpendapat, tindakan dua warga Palestin yang mencetuskan kekecohan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) kemungkinan disebabkan stres.

Mohammad tidak menolak ketidakpuasan hati mereka itu terjadi kerana pergerakan mereka dikawal, bagaimanapun kawalan terpaksa perlu dilakukan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

“Mereka (kemungkinan) stres, kita kena faham perasaan mereka tetapi atas faktor keselamatan kita tidak benarkan mereka keluar (dari WTKL) dan setiap program mereka sentiasa dikawal demi menjaga keselamatan.

“Mereka tidaklah terperap sahaja, kita bawa juga mereka keluar dengan kawalan pasukan kita tetapi aspek keselamatan mereka lebih penting walaupun ada antara mereka tidak puas hati sehingga menimbulkan ketegangan,” katanya ketika ditemui selepas meraikan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 di sini, hari ini.

Beliau berkata, ATM menyerahkan kepada pihak berkaitan, khususnya mereka yang terbabit menguruskan warga Palestin yang menerima rawatan di Malaysia, untuk mengambil tindakan susulan.

“Kita memahami masalah mereka (warga Palestin) yang menerima rawatan di sini dan sebahagian besar mereka sudah sihat kecuali empat orang yang masih menerima rawatan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita menjaga mereka dan perlu dikawal bagi menjaga keselamatan mereka sepanjang berada di negara kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini