BUKIT MERTAJAM: Dua warga Pakistan yang dalam perjalanan mengambil dua rakan sekerja di Kulim, ‘terpinga-pinga’ apabila diarah meninggalkan kereta dinaiki selepas kenderaan itu disita penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Op Khas Tahun Baharu Cina, malam tadi.
Tindakan sita itu dibuat selepas pemandu berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta terbabit dari Batu Kawan itu didapati tiada lesen memandu.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, pihaknya telah menyita lima kenderaan termasuk dua kenderaan yang dipandu warga asing dalam operasi bermula jam 8.30 malam.
“Kita memeriksa 1,273 kenderaan sepanjang operasi yang mana 154 daripadanya diambil tindakan bagi pelbagai kesalahan.
“Setakat ini kesalahan membabitkan tiada lesen memandu dilihat menurun, cuma kesalahan membabitkan LKM (Lesen Kenderaan Motor) atau cukai jalan tamat tempoh masih dilihat tinggi.
“Dalam operasi ini, kita menyita lima kenderaan termasuk dua yang dipandu warga asing dan dua lori kontena serta sebuah lori tangki yang disyaki melakukan ubah suai struktur badan yang kita akan panggil pemiliknya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menyertai Op Khas Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Juru Arah Utara, di sini, malam tadi.
Operasi yang berlangsung selama 19 hari sehingga 9 Februari depan itu melibatkan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan,(AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zulkifly berkata, sepanjang musim perayaan ini, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan dan memberi tumpuan terhadap kawasan hotspot yang dikenal pasti di lima daerah negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut melihat keberkesanan terhadap operasi penyamaran yang dijalankan anggota JPJ apabila pemandu bas mula berjaga-jaga dari melakukan kesalahan.
“Dari segi (tindakan) penyamaran (anggota berpakaian preman menaiki bas) kaedah ini memang sudah lama kita laksanakan, khususnya pada musim perayaan.
“Apa yang bagus (tentang kaedah penyamaran ini) adalah pemandu bas ini (mereka) sudah tahu (ada pegawai menyamar) dan itu membuatkan mereka lebih ‘alert’ (berjaga-jaga).
“Bagi kita, sekiranya pemandu bas ini dah ‘alert’ maka baguslah (kesedaran mereka meningkat dan mematuhi peraturan) yang sebab itu kita selalu uar-uarkan bahawa akan ada pegawai kita (lakukan penyamaran) atas bas supaya nak bagi pemandu ini lebih berhati-hati,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.