
TANAH MERAH: Cubaan seorang warga Pakistan untuk merentas sempadan negara dari Sungai Golok ke Thailand dengan bantuan seorang ejen gagal, apabila ditahan oleh Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd), awal pagi tadi.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 1.20 pagi.
Sementara seorang lagi lelaki yang disyaki menjadi ejen yang mengaturkan kemasukan dan penghantaran pendatang asing tanpa izin (PATI) antara Malaysia dan Thailand melarikan diri ke negara jiran.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, pasukan operasi telah mengesan kehadiran dua lelaki yang menunggang motosikal menuju ke pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.
Katanya ketika diserbu, kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri, namun pasukan operasi dapat menahan seorang lelaki, manakala seorang lagi melarikan diri ke Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok.
“Setelah diperiksa, didapati lelaki itu adalah warganegara Pakistan dan mendakwa bekerja di Pulau Pinang sejak 2024. Namun, tiada bukti kemasukan lelaki itu ke Malaysia secara sah.
“Lelaki itu mendakwa perjalanannya untuk meninggalkan Malaysia melalui Thailand diuruskan oleh lelaki yang melarikan diri, yang dipercayai sebagai ejen yang mengaturkan proses kemasukan serta penghantaran PATI di antara Malaysia dan Thailand,” menurut kenyataan itu.
Turut ditemui bersama PATI itu adalah visa pelancong ke Thailand yang sah sehingga 7 Mei depan, telefon bimbit, beberapa barangan peribadi dan sebuah motosikal yang dipercayai milik lelaki yang meloloskan diri.
Jumlah keseluruhan barangan yang dirampas bernilai RM5,959.
“PATI berkenaan telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Pasukan operasi akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti Jenayah Rentas Sempadan (JRS), walaupun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba melanggar undang-undang negara.
“Cabaran bertugas di bulan Ramadan tidak akan mematahkan semangat pasukan operasi untuk meronda dan mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti JRS,” tambah kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.