Tumpuan :
Nasional

Warga Pakistan ditahan bawa rokok seludup RM425,400

Suspek warga Pakistan ditahan selepas didapati membawa rokok seludup dalam kereta dipandunya di Papar. -FOTO: PPM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki mengedar dan menjual pelbagai rokok seludup ditahan ketika memandu sebuah kenderaan di Jalan Taman Limauan, Kinarut, di sini, semalam.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika berada di dalam kenderaan Toyota Innova yang membawa rokok seludup dianggarkan bernilai RM425,400.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan pada jam 12.50 tengah hari itu adalah hasil maklumat pasukan Unit Risikan Marin (RSM).

Katanya, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan bersama sebuah kereta jenis Toyota Innova di lokasi.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui timbunan kotak berisi rokok yang dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

“Semua rokok berkenaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM425,400 berdasarkan harga pasaran semasa terus dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nazri berkata, suspek dan semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Mohd Nazri mengalu-alukan orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada berleluasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini